Ini adalah soalan-soalan biasa yang sering ditanya dan kadang-kadang "dipertikaikan" oleh pelanggan dan bakal pelanggan saya. Adalah diharapkan dengan FAQ ini, segalanya akan terjawab dan tiada lagi kemusykilan yang berlegar-legar di kotak fikiran para pengiklan
Soalan 1
Bagaimana saya nak pastikan awak hantar, entah-entah awak tak hantar tapi bagitau dah hantar. Dah la saya kena bayar dulu, baru kerja dijalankan.
Jawapan : Kami adalah perniagaan yang berdaftar dan bekerja secara profesional. Ini adalah sebagai menjaga nama baik dan hubungan baik dengan pelanggan (pengiklan) kerana kami berfikiran jauh ke hadapan dan ingin menjalinkan kerjasama perniagaan bagi jangka panjang. Jika memerlukan bukti, kami boleh menyediakan bukti bergambar dengan mengambil gambar foto nama-nama jalan, kawasan perumahan dengan kamera digital dengan paparan tarikh dan masa.
Soalan 2
Betul ke dah hantar? Saya dah telefon kawan saya di taman tu, dia kata tak dapat pun. Macam mana ni?
Jawapan : Kami telah berusaha sedaya upaya untuk menghantar bagi setiap unit rumah di sesebuah taman perumahan. Ada kemungkinan ia terlepas pandang, maknanya rumah tersebut terlepas daripada sasaran penghantaran. Ada juga kemungkinan flyers telah dihantar, mungkin telah diambil oleh orang lain atau kanak-kanak untuk dibuat main. Kemungkinan juga telah diambil dan dibawa masuk ke dalam rumah oleh salah seorang anggota keluarga tetapi anggota keluarga yang lain tidak tahu. Untuk pengesahan yang lebih tepat, adalah lebih baik telefon dan bertanya kepada jiran-jiran berdekatan yang telah menerima flyers tersebut.
Soalan 3
Kenapa waktu hujan tak nak hantar? Hujan tu bukan masalah saya, itu masalah awak. Awak patut hantar sebab kami dah bayar.
Jawapan : Sebenarnya ini bukan kes kami "malas" atau "mencuri tulang" apabila hujan. Sebenarnya kami amat menitikberatkan soal keberkesanan flyers itu sendiri. Jika hujan, sudah pastilah flyers tersebut basah. (Kami tidak pula menyediakan sampul plastik untuk flyers, ini sudah pasti meningkatkan kos!). Kadangkala, apabila kami lihat keadaan cuaca yang tidak menentu dan ada kemungkinan hujan dalam waktu sejam atau setengah jam dari masa penghantaran, kami tidak meneruskan penghantaran. Ini adalah lebih baik daripada flyers yang basah, seterusnya rosak, koyak dan sudah pastilah akan "ditongsampahkan" oleh penerima.
Soalan 4
Betul ke awak dah hantar ni? Takda sorang pun telefon saya lagi. Takda feedback langsung!
Jawapan : Tugas kami yang berbayar adalah untuk mengedar flyers. Kami tidak bertanggungjawab untuk memastikan penerima flyers menelefon atau menghubungi pengiklan selepas mereka membaca flyers tersebut. Ini sewajarnya jelas pada persetujuan awal semasa melanggan servis kami. Sekadar berkongsi info, sebenarnya penerima flyers bukanlah 100% akan berminat dengan produk/perkhidmatan kita seperti di dalam flyers. Contohnya, flyers McDonald yang mempromosi Sundae Cone berharga 50 sen pada setiap 1 hari bulan setiap bulan, bagi pembaca yang memang berminat, sudah pastilah mereka menghubungi atau terus pergi ke McD untuk mendapatkan produk tersebut. Tapi bagaimana pula bagi flyers yang mempromosikan pakej pelancongan dalam negeri, sedangkan seluruh famili bagi sebuah rumah itu tidak berminat untuk melancong atas sebab-sebab yang diketahui oleh mereka sendiri. Secara mudahnya, pembaca flyers akan menghubungi atau mengunjungi premis pengiklan apabila berlakunya "matching" atau pemadanan di antara APA YANG DITAWARKAN dengan APA YANG DIMINTA ATAU DIPERLUKAN. Konsep yang mudah bukan?
Soalan 5
Kenapa ada jumlah minimum 1000 keping baru boleh hantar? Saya ada 300 keping flyers, takan tak boleh hantar. Sama aja kan?
Jawapan : Tak sama. Kos pengedaran dibanding dengan jumlah bayaran yang kami terima tidak setimpal. Dengan perkataan lain, tidak berbaloi dan menguntungkan. Sebagai sebuah badan perniagaan, keuntungan harus diambilkira. Lainlah jika pelanggan sanggup membayar harga yang lebih untuk jumlah yang kurang daripada 1000 keping. Tambahan pula secara logiknya, kaedah pengiklanan secara flyers ini memang melibatkan jumlah helaian yang banyak, bunyinya ribu-ribu. Kebiasaannya respon atau kunjungan serta maklum balas daripada pembaca flyers dalam lingkungan 2%-5% daripada jumlah keseluruhan flyers yang kita edar. Ini pun dah cukup baik! Seperti anak ikan, yang asalnya dari telur yang beribu-ribu, akhirnya yang betul-betul hidup sebagai ikan biasanya bukan 100%. Hanya flyers yang betul-betul menawarkan sesuatu yang amat berharga atau menarik yang pasti mendapat respon atau hits yang tinggi. Ambil saja contoh bayaran rebat petrol di pejabat pos, beratur panjang dari pagi untuk mendapatkan rebat subsidi. Tak payah iklan pun ramai yang dah serbu pejabat pos awal-awal lagi.
Soalan 6
Kenapa awak hantar flyers saya dengan flyers orang lain. Campur-campur, saya nak flyers saya aja dihantar. Orang lain punya awak hantar asing-asing lah
Jawapan : Sekali lagi ia adalah soal perniagaan. Inilah perniagaan kami dan kami membuat keuntungan daripada perniagaan ini. Sebenarnya kita kena lihat secara positif apabila flyers bercampur-campur daripada pelbagai syarikat. Pembaca akan menerima banyak flyers dan akan memilih dan kemungkinan juga membaca semua flyers yang ada tidak kira warna, jenis kertas dan sebagainya. Hakikatnya, isi kandungan sesuatu flyers itu adalah penting bagi menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan dan berfikir sama ada berminat atau tidak. Walaupun begitu, kami tidaklah menghimpunkan sebanyak mungkin flyers untuk dihantar sekaligus. Mungkin maksimum 5 syarikat perniagaan saja bagi sekali edaran. Nanti tebal pula flyers tu dan memenuhi ruang peti surat rumah pembaca.
Soalan 7
Kenapa kami kena bayar dulu (in advance)? Kerja pun belum buat lagi, dah kena bayar.
Jawapan : Kami menjalankan perniagaan ini bukan berseorangan. Ada pekerja-pekerja yang perlu diberi upah dan banyak kos-kos lain yang akan terlibat. Dengan adanya tunai di tangan, segala belanja dapat dilunaskan secara berkesan tanpa masalah.
No comments:
Post a Comment